Monday, November 17, 2008

Siapakah Pihak Berkuasa Tempatan Anda?

Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) ialah pihak berkuasa yang ditubuhkan bawah undang-undang termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Subseksyen 5(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) memperuntukkan kuasa kepada PBT untuk menjadi pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT).

Ini bermaksud mana-mana PBT seperti majlis daerah, majlis perbandaran, majlis atau dewan bandaraya atau mana-mana perkataan lain yang bermaksud ia sebagai PBT adalah PBPT dalam kawalan pentadbirannya.

Subseksyen 5(2) memperuntukkan bagi kawasan di luar sesebuah PBT, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Negeri ialah PBPT bagi kawasan tersebut.

Secara khususnya, setiap PBT mempunyai jabatan atau unit perancangan bandarnya. Jabatan atau unit ini adalah unit yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perancangan Bandar bagi kawasan pentadbiran PBT tersebut.

PBT merupakan hierarki ketiga di dalam sistem pentadbiran Kerajaan Malaysia selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. PBT terletak di bawah Kerajaan Tempatan yang mana ia mempunyai urusan secara langsung dengan penduduk tempatan.

PBPT merupakan pihak yang mengendalikan urusan perancangan yang berkaitan dengan hal ehwal tempatan. Fungsi PBPT adalah berkait rapat dengan urusan perancanngan yang dijalankan di peringkat tempatan yang mana ia menawarkan khidmat kepada orang awam.

Antara fungsi yang ditonjolkan daripada PBPT ialah :

  1. Memproses permohonan pelan pembangunan yang dikemukakan;
  2. Mengawal aktiviti pembangunan gunatanah melalui pemakaian akta dan garis panduan;
  3. Mengeluarkan garis panduan dan piawaian perancangan yang terperinci terhadap pembangunan;
  4. Menyelaras dan melaksanakan dasar dan strategi rancangan pemajuan yang telah diwartakan kepada bentuk fizikal dalam pentadbirannya; dan
  5. Menjalankan kajian dan kaji selidik perancangan pembangunan
  6. Berfungsi sebagai fasilitator kepada pembangunan kawasan pentadbirannya dan juga memenuhi hasrat dan permintaan penduduknya

No comments: